2 OGOS 2019 - ‘Hidup kayu berbuah, hidup manusia berjasa’. Peribahasa tersebut menggambarkan SINAR yang sedia berkongsi pengalaman dan ilmu rawatan hemodialisis yang betul dan mengikut ketetapan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Seramai 10 orang wakil dari Koperasi Warisan Polis Terengganu Berhad (KWPTB) telah datang melawat Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) yang diuruskan oleh SINAR Haemodialysis Sdn Bhd yang terletak di Cheras. Lawatan tersebut merangkumi sesi pembentangan profil syarikat, lawatan kawasan pusat rawatan, sistem perpaipan, sistem osmosis terbalik (Reverse Osmosis - RO) dan teknologi mesin hemodialisis dan dialyser yang digunakan oleh SINAR. Pembentangan dilakukan oleh En Wan Ahmad Fadhil Bin Wan Jaafar, Pengurus Kanan Strategik dan Kewangan SINAR, manakala Cik Nageswari A/P Sudasurom, MATRON yang berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam rawatan hemodialisis, menerangkan tentang sistem RO kepada wakil-wakil KWPTB. Segala informasi dan pengalaman yang dikongsikan bersama pihak KWPTB dan pihak-pihak lain amat penting kerana SINAR menitikberatkan kesempurnaan. Ini adalah kerana menguruskan pusat rawatan hemodialisis memerlukan penelitian yang sempurna dalam memastikan perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada pelanggan.